Tuesday, September 13, 2011

Semi abstrak, Abstrak dan lukisan kreatif

Semi abstrak

Semi abstrak atau separa abstrak serta abstrak merupakan antara gaya penampilan imej yang dilakarkan oleh pengkarya.
Gaya penampilan merupakan cara imej dalam sesebuah karya dipersembahkan. Ianya menyentuh soal gaya dan bagaimana imej disampaikan. Gaya penampilan disampaikan secara realistik, separa abstrak dan abstrak. Gaya penampilan diwujudkan untuk :

i.              Menyampaikan maksud, iaitu memberi makna terhadap suatu perkara yang ingin disampaikan
ii.            Menyampaikan emosi, iaitu rangsangan atau tindak balas terhadap sesuatu perkara. Contohnya karya realistik menunjukkan keindahan alam yang melahirkan rasa cinta, aman, berani dan lain-lain lagi.
iii.           Dapat menunjukkan aliran atau haluan pengkarya mengikut peredaran masa. Setiap aliran mempunyai stail atau gaya penampilan yang berbeza.
iv.           Menyampaikan nilai estetika atau falsafah yang tersendiri serta dapat menarik perhatian audiens untuk menginterpretasi sesuatu karya.

Separa abstrak atau semi abstrak bermaksud gambaran imej sebenar yang diubah suai dan dipermudahkan atau dipiuhkan. Walau bagaimanapun, imej tersebut masih dapat dikenali dan masih mempunyai ciri-ciri sebenar imej yang digambarkan.

Antara aliran yang terkenal dengan gaya penampilan separa abstrak ialah kiubisme. Kiubisme merupakan aliran yang mementingkan bentuk-bentuk geomatrik yang dipecah-pecahkan supaya dapat dipandang dari pelbagai sudut. Kiubisme juga menimbulkan ilusi tiga dimensi lutsinar serta gambaran pergerakan. Selain itu, aliran ini mengutamakan kesan warna yang bertenaga, jalinan yang pelbagai dan cara ekspresi yang bebas.

Seperti dalam karya cat minyak oleh Pablo Picasso, tahun 1906-1907, “Les Damiselles d’ Avignon”. Dalam karya ini, pablo telah menggambarkan 5 orang wanita yang tidak berpakaian. Namun begitu, imej wanita-wanita berkenaan dipiuhkan menjadi imej yang bersegi tiga dan berdimensi. Walau bagaimanapun, masih dapat audiens melihat akan ciri-ciri wanita yang dilukis.



Contoh yang ke-2 seperti yang dilukis oleh Georges Braque pada tahun 1911. Dalam karyanya yang bertajuk “Man With Guitar”, Braque memperlihatkan seorang lelaki yang memegang sebuah gitar. Namun begitu, seperti karya pablo, karya ini juga memperlihatkan imej yang dipiuhkan. Dalam karya ini, Braque telah menggunakan rupa geomatrik dan disusun dengan sangat sistematik supaya timbul imej lelaki dan gitarnya.



Melalui contoh yang diberi, jelaslah bahawa semi abstrak merupakan suatu gaya penampilan lukisan atau catan yang memiuhkan imej namun masih jelas ciri-ciri imej yang dipiuhkan.

Abstrak

Abstrak pula dalam gaya penampilan karya seni ialah gambaran yang dipermudahkan atau dimujarabkan dari segi bentuk dan imej sebenar. Karya abstrak diolah pada bentuk dan kualiti objek kepada rupa bentuk yang mustahak atau asas sahaja. Kadangkala, imej abstrak sukar dikenali dan sangat berbeza dengan imej asal.

Antara aliran yang terkenal dengan gaya penampilan abstrak adalah ekspresionisme abstrak. Aliran ini meluahkan idea, perasaan, falsafah, peribadi dan sejagat melalui catan yang spontan dan agresif. Aliran ini juga banyak mengunakan simbol untuk menyampaikan mesej, imej abstrak dan hilang sifat realistik. Ekspresionisme menggunakan unsur warna, bentuk dan garisan serta menggunakan pelbagai teknik dan media.

Diluar negara, Jackson Pollock telah menghasilkan karya “number one” menunjukkan renjisan cat minyak yang pelbagai warna diatas kanvas. Terlalu konflik sehinggakan audiens perlu merenung dan memerhatikan setiap sudut karya untuk memahami erti karya yang dipersembahkan.



Dalam negara pula, Syed Ahmad Jamal telah menghasilkan karya berjudul “harapan” pada tahun 1962. Dalam karya ini, calitat cat dengan menggunakan berus mewujudkan kesan berus yang kasar dan tebal. Sama seperti karya Jackson Pollock, karya ini juga tidak mempunyai imej yang khusus, hanya calitat cat yang kelihatan. Namun tetap juga mengandungi nilai estetika yang tersendiri serta maksud karya yang tertentu.


Lukisan Kreatif

Kreativiti merupakan keupayaan untuk membuat sesuatu yang lain dari biasa. Kreativiti biasanya dikaitkan dengan idea-idea yang luar biasa seperti Stephen Gary Wozniak yang menjadi pelopor kepada computer Apple. Selain itu Mark Elliot Zuckerberg yang merupakan pengasas kepada facebook merupakan salah satu dari contoh insane-insan yang kretif dan inovasi dalam melihat penghasilan sesuatu perkara.

Dalam konteks ini, lukisan kreatif atau “creative drawing” boleh dikaitkan dengan suatu lukisan yang lain dari yang lain. Biasanya, lukisan kreatif menggunakan gaya penampilan yang realistik bagi menimbulkan keunikan sesuatu karya tersebut. Lukisan kreatif bukan sahaja boleh dilukis pada permukaan kanvas atau kertas, namun di siling-siling, dinding-dinding mahupun lantai jalan raya,

Kebiasaannya, lukisan kreatif ditimbulkan menggunakan imej 3D yang menampakkan seolah-olah imej yang ingin disampaikan hidup dan sangat realistik.
Paul Kuczynski merupakan salah seorang pengkarya yang mengolah lukisannya menjadi lukisan yang kreatif dan penuh makna. Terdapat unsur-unsur nasihat dan sindiran dalam karya beliau. Selain itu juga, lukisan yang dibuat atas permukaan lantai di jalan-jalan raya juga giat dihasilkan.
Jelaslah disini bahawa lukisan kreatif merupakan lukisan hasil daripada idea yang luar biasa pengkarya. Lukisan kreatif ini sangat sesuai dalam menangkap minat audiens serta mempersembahkan nilai estetika seni.